COCO
Assalamualaikum dan bismillah 🎔
Hari ini aku akan menceritakan tentang pengalamanku menonton animasi Coco di pawagam.
Bagi mereka yang mengenali diriku, mereka akan tahu bahawa aku ini sangat menggemar menonton filem namun jarang sekali aku akan berikan review yang tinggi kepada filem yang telah aku tonton. Sebagai contoh, sewaktu kami menonton Jumanji, kesemua kawan-kawanku telah memberi 9/10 kepada filem itu namun aku hanya memberikan 7/10. Dan hampir kesemua filem yang telah aku tonton, aku berikan hanya 7/10 dan tidak pernah lebih. Namun, animasi Coco ini berbeza kerana setelah habis menontonnya, aku sangat berpuas hati dan ianya layak untuk mendapat 10/10 ⭐
Persoalannya, kenapa? Sedangkan jika mahu dibandingkan, filem Coco ini hanyalah animasi dan filem lain jauh lebih hebat pembuatan filemnya, benarkah?
Pertama, kerana animasi Coco telah diarahkan oleh salah satu syarikat animasi terbesar di dunia iaitu Syarikat Pixar. Sebut sahaja nama syarikat ini, kita akan terus terkenang animasi-animasi popular mereka yang lain seperti Monster Inc, Finding Nemo dan banyak lagi. Maka, tidak peliklah bahawa aku mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap filem ini
.
Kedua, jalan cerita Coco yang lain daripada lain. Kebiasaannya, animasi-animasi yang dihasilkan sering berkait dan jalan ceritanya mungkin klise. Namun, berbeza dengan Coco, animasi ini menceritakan tentang Miguel, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik. Namun, cintanya terhadap muzik terpaksa disembunyikan dek keluarganya yang mempunyai rasa benci terhadap kewujudan muzik. Apa yang membawa kelainan kepada animasi ini adalah kerana filem ini juga menceritakan budaya orang Mexico yang menyambut Die de Muertos ataupun dalam bahasa Inggeris ialah Day of the Dead. Pada hari tersebut, masyarakat Mexico mempercayai bahawa ahli keluarga yang sudah mati akan pulang untuk menziarahi mereka. Dek kerana terlalu mahu bermain muzik, Miguel telah terperangkap di dalam dunia Land of the Dead. Sampai di sini sahaja, bagi aku jalan ceritanya sudah menunjukkan keunikan dan kelainan berbanding animasi lain.
Dan yang terakhir, nilai murni dan mesej kekeluargaan yang cuba disampaikan filem ini sangat mendalam kerana mesejnya melangkau semua peringkat umur. Aku ingat lagi dengan nyata sewaktu aku menonton filem ini di wayang. Orang sekelilingku tidak kira umur turut juga menangis kerana tersentuh dengan pengajaran yang dibawa oleh cerita ini dan kebanyakan daripada mereka juga mempunyai pendapat yang sama denganku.
Akhir kata, tidak ada ayat yang dapat aku susun untuk menceritakan betapa hebatnya filem ini. Senang cerita, sekiranya anda semua ingin tahu, luangkan masa anda untuk melihat filem ini dan percayalah, ianya akan berbaloi! ❤️💜💙
Comments
Post a Comment