Tautan Kasih @ Sg Ruil, Cameron Highland


Assalamualaikum semua 💗 Hari ini, aku akan menceritakan pengalaman aku pergi ke Cameron Highland untuk program Tautan Kasih bersama Orang Asli yang dianjur oleh kumpulan Bakti Siswaku. Kami bergerak ke Kompleks Akademik A (KAA), UPM pada malam Jumaat yang lalu,  tepat pada pukul 11 malam. Disebabkan aku adalah ketua AJK makanan, aku harus menguruskan penghantaran air mineral dan roti ke KAA awal pada pukul 10 malam.



Alhamdulillah, urusan aku dipermudahkan apabila Izham, ketua kumpulan Bakti Siswaku membantu. Selain Izham, Nadhirah dan Yasir juga membantu dalam menguruskan pergerakan makanan pagi kami sepanjang program ini.

Bas bertolak tepat pukul 12 malam setelah kami semua memastikan semua barang keperluan kami di sana sudah mencukupi. Di KAA, kami dikehendaki menghantar surat akuan diri dahulu sebagai surat pelepasan untuk kami mengikuti program ini.

Perjalanan ke Cameron Highland malam itu sungguh menyeronokkan bagiku. Tidak silapku, perjalannya mengambil masa 5 jam lebih untuk sampai dan tepat pada pukul 6, aku dikejut oleh kawan-kawan yang lain untuk menunaikan solat subuh. Selesai sahaja menunaikan fardhu Subuh, kami bergerak untuk bersarapan di foodtruck di tepi surau. Nasi lemak dan air milo yang aku order ketika itu sangat sedap dan kena dengan perutku, malah ada antara kawanku yang siap membungkus kuih muih lebihan.

Tidak lama kemudian, kami meneruskan perjalanan ke kampung Sungai Ruil, yang terletak hanya 10 ke 15 minit jauh dari tempat kami bersarapan tadi. Sampai sahaja di kampung itu, aku kagum dengan persekitaran di sana. Sejujurnya, aku sangkakan perkampungan orang asli di sana berada di pedalaman namun sangkaan aku benar-benar meleset kerana golongan orang asli di sana ternyata maju dan mereka hidup senang.


Pagi itu, kami memulakan aktiviti dengan memanaskan badan dan seterusnya menyiapkan segala keperluan di dalam dewan sebelum acara rasmi kami bermula. Tepat pukul 9 pagi, dewan itu dipenuhi dengan ramai anak orang Asli dalam lingkungan umur 5 ke 14 tahun. Setelah semuanya lengkap, kami memulakan acara pertama kami iaitu sesi icebreaking sesama kami sebagai fasilitator bersama anak-anak orang Asli. Kami dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan dijaga oleh 3 ke 4 orang fasilitator. Aku telah ditetapkan untuk menjaga kumpulan 1 bersama Nadhirah dan Hidayah.

Acara seterusnya adalah acara telematch dimana kami mengadakan sukaneka untuk 5 kumpulan itu bertanding. Antara permainannya adalah pingpong dalam sudu, perah span dalam botol, ratu belon dan macam-macam lagi. Acara ini berlangsung hampir 3 jam dek kerana kesemua anak-anak orang Asli ini seronok bermain dan tidak mahu berhenti. Tamat sahaja acara telematch, aku selaku ketua AJK makanan mengagihkan makanan tengahari kepada mereka. Hari itu, aku telah menempah katering nasi putih, ayam kari dan sayur goreng bersama air sirap untuk semua orang. Dan, aktiviti kami untuk hari itu berhenti setakat itu sahaja kerana tepat pada pukul 2, kami dibenarkan untuk pulang ke homestay untuk mendaftar masuk. Kami telah menyewa dua buah rumah berasingan untuk lelaki dan perempuan di mana kami pelajar perempuan tinggal di rumah teres 2 tingkat dan lelaki pula di sebuah apartment.

Kalau ikutkan jadual kami, kami dibenarkan berehat sehingga pukul 4 petang dan seterusnya menyambung acara seterusnya iaitu melawat rumah ke rumah untuk melakukan kerja amal. Namun, dek kerana hujan lebat, kami terpaksa membatalkan acara itu, maka kami semua yang kepenatan pun tidur di rumah masing-masing.

Bagi malam itu pula, kami tidak ada sebarang aktviti yang dirancang kerana ianya adalah free hour untuk semua pelajar. Oleh itu, kami semua beramai-ramai telah pergi ke pasar malam yang berada tidak jauh daripada rumah kami untuk membeli makan malam. Sejurus itu, kami semua berjalan ke dewan besar untuk makan bersama-sama di sana dan kami juga merancang untuk membuat raptai untuk program penutup kami keesokkannya.


Selera ku malam itu sangat tinggi. Aku telah membeli lamb chop, sotong goreng, bebola keledek dan strawberi coklat dan apa yang lagi mengasyikkan adalah kami semua berkongsi makanan antara satu sama lain seperti jamuan!

Selesai makan bersama, kami memulakan raptai program. Aku bersama 6 orang yang lain telah dipilih menjadi usher VIP kerana kami juga yang akan membuat persembahan untuk VIP dan anak-anak orang Asli keesokkannya. Raptai kami malam itu berakhir tepat pukul 12 malam, dan dek kepenatan, kami terus tidur dengan nyenyak sebaik sahaja tiba di rumah.


Keesokannya, program penutup kami berjalan dengan lancar. Aku menjalankan tugas ku sebagai usher dan penari dengan baik, malah kami dipuji oleh VIP majlis yang juga merupakan naib pengarah Pusat Koko UPM. Selesai sahaja acara penutup, kami mengemas dan masing-masing berkumpul untuk membuat post-mortem. Kami berkongsi sepatah dua kata tentang pendapat kami terhadap program ini dan kami juga ada mengisi beberapa borang survey untuk program dan kelas ini.


Kami bertolak balik tepat pada pukul 3 petang dan kami juga ada singgah berhenti untuk makan dan berjalan-jalan dalam perjalanan balik. Kami tiba di perhentian bas FBMK tepat pada pukul 9.30 malam, kepenatan dan masih lagi keseronokan.

Pada pendapat aku, program 2 hari 1 malam di Sungai Ruil ini sangat menyeronokkan. Walaupun pada awalnya aku tidak menyukai program ini, akhirnya aku menjadi insan yang paling seronok sepanjang berada di sana. Aku juga bersyukur kerana program kami berjalan dengan sungguh lancar dan semuanya baik-baik sahaja. Akhir sekali, untuk kawan-kawan Bakti siswaku, aku seronok mengenali mereka dan aku harap mereka tidak akan melupakan aku dan pengalaman kami di sana. Begitu banyak benda menarik yang mahu aku kongsikan bersama pembaca, tetapi jam kini sudah menunjukkan 12.18 malam dan esok aku mempunyai kelas pada pukul 8 pagi. Apa yang dapat aku simpulkan adalah, ianya adalah satu pengalaman yang memenatkan, memuaskan dan seronok untuk aku!





Comments